PRESIDEN Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais mengalu-alukan individu yang berminat dan berhasrat untuk mengambil alih tanggungjawab di persatuan dan juga sebagai pengerusi Sarawak United FC (SUFC).
Posa berkongsi kenyataan rasmi sebelum Jawatankuasa Rayuan Perlesenan Kelab MFL (AB) mengumumkan keputusan menolak rayuan kelab Liga Super Melaka United FC (MUFC) dan Sarawak United FC (SUFC) untuk memohon Lesen Kebangsaan pada Selasa.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi SUFC mengakui bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan urusan tadbir berjalan lancar.
“Sekiranya keputusan sama ada lulus atau tidak perlesenanan kelab untuk tahun hadapan 2023, bagi pihak SUFC dengan rendah diri akan akur dengan keputusan Jawatankuasa Rayuan sekiranya terpaksa bermain di Liga Divisyen Kedua.
“Berbalik kepada isu jawatan saya sekarang, ingin saya ingatkan bahawa bakal pemegang jawatan yang berminat harus bersedia memikul tanggungjawab besar terhadap FAS dan SUFC,” jelasnya dalam kenyataan tersebut sambil menambah FAS dan SUFC memerlukan perbelanjaan yang besar dalam setahun untuk lima pasukan utama, senior (team Liga Super), Bawah 23 Tahun, Bawah 20 Tahun, Bawah 18 Tahun, serta pasukan futsal lelaki dan wanita.
Tambah Posa, urus tadbir semua pasukan SUFC memerlukan dana kewangan yang besar bagi memastikan kesemua pasukan boleh beraksi dalam penganjuran Liga Malaysia.
“Turun naik sesebuah pasukan tidak mustahil menjadi pemangkin semangat kami untuk kembali ke kancah Liga Super.
“Terima kasih kepada semua peminat yang sangat mengambil berat tentang keberadaan situasi FAS dan SUFC selama ini.”
Sebagai rekod, pada 12 Oktober lalu Melaka United dan Sarawak United FC dikenakan hukuman tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysa 2023 susulan masalah kewangan yang melanda kedua-dua pasukan ini.
Kedua-dua pasukan ini mengemukan rayuan permohonan lesen, namun malangnya keputusan ditolak.