KAYU pengukur sebenar buat anak buah Brad Maloney ialah misi di Uzbekistan bulan depan apabila 16 pasukan terbaik Asia berhimpun di Tashkent selepas skuad bimbingannya kempunan pingat di Sukan SEA Vietnam 2021.
Kegagalan Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsuddin – kedua-duanya berpangkalan di luar negara – untuk menyempurnakan penalti masing-masing menyaksikan Malaysia tewas kepada musuh ketat, Indonesia, pada penentuan sepakan penalti dalam saingan penentuan pingat gangsa petang semalam (Ahad).
Maloney dan anak didiknya kena tutup bab di Vietnam dengan segera dan buka babak baharu kerana perlawanan pembukaan menentang Korea Selatan pada Piala Asia AFC Bawah 23 tahun di Stadium Lokomotiv di Tashkent hadir tidak sampai dua minggu dari sekarang.
Kelemahan ketara anak buah Maloney ialah melakukan transisi dengan lancar dari jentera tengah ke hujung tombak.
Acapkali kiriman hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat, digelar ‘Modric’ sempena nama Luka bintang Real Madrid oleh Hadi Fayyadh, tidak menemui rakan.
Mukhairi Ajmal Mahadi selaku kapten seorang yang bekerja keras tetapi kadangkala cenderung melakukan aksi fancy terlampau sehingga kerap hilang bola.
Barisan pertahanan yang dikemudi Harith Haikal Adam Afkar bersama penjaga gol Azri Ab Ghani bolos lapan gol secara keseluruhan dalam enam perlawanan di Vietnam tetapi menunjukkan kesungguhan dan disiplin taktikal pada umumnya.
Maloney tentu sekali tidak perlu segan silu bertanya kepada Kim Pan Gon apakah kelemahan yang ada pada skuad Bawah 23 tahun Korea Selatan.
Bukankah Pan Gon bertanggungjawab melantik Hwang Sun Hong selaku jurulatih skuad Bawah 23 tahun Korea Selatan tahun lalu dan antara panel yang menilai kewibawaan jurulatih di KFA?
Elok sangat jika Maloney dan dua penolongnya, Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang duduk semeja berbincang dengan Pan Gon bagi menilai strategi serta kekuatan dan kelemahan skuad Korea Selatan menerusi analisis video dan permainan.
Selaku juara bertahan, Korea Selatan tampil sebagai pasukan pilihan untuk menguasai bumi yang melahirkan Azamat Abduraimov, Igor Shkvyrin, Server Djeparov dan Maksim Shatskikh.
Untuk mengharapkan secara tiba-tiba Hadi Fayyadh tajam merobek gawang lawan dianggap hampir mustahil jika tiada perancangan teliti Maloney – sama ada game plannya berteraskan set-piece, counter-attack atau serangan balas, mahupun falsafah permainan yang dominan.
Melihatkan Malaysia tidak dapat makan team Singapura dan Kemboja tetapi berjaya pula menundukkan Thailand di saingan Sukan SEA, Maloney ada tugas khas mencatur mentaliti anak buahnya menentang tiga pasukan yang di atas kertas jauh lebih hebat berbanding skuad negara.
Tetapi di atas padang, Thailand tewas di tangan Malaysia yang hampir-hampir mengikat Vietnam sehinggalah Quentin Cheng menghadiahkan sepakan percuma yang akhirnya menghasilkan gol buat pasukan tuan rumah.
Jadual Perlawanan Piala Asia B-23, Uzbekistan:
2 Jun Malaysia mln Korea Selatan
5 Jun Malaysia mln Vietnam
8 Jun Malaysia mln Thailand