NASIB penerjun negara, Ooi Tze Liang masih samar untuk ke Olimpik Paris 2024 susulan keputusan rasmi yang masih belum dibuat oleh Pusat Akuatik Dunia.

Dia masih perlu menunggu keputusan yang akan dikeluarkan oleh Akuatik Dunia mengenai kemungkinan dirinya akan memperoleh slot tambahan untuk beraksi di Temasya Olimpik atau sebaliknya.

Perkara ini didedahkan sendiri oleh Pengarah teknikal kem terjun negara, Bryan Nickson Lomas yang juga masih ternanti-nanti keputusan yang agak mendebarkan buat kem terjun negara itu, sekali gus ingin bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.

Tambahnya, jika Malaysia tidak menerima sebarang makluman dari Akuatik Dunia selepas 8 Julai, ini bermakna tiada slot tambahan akan diberikan kepada wakil penerjun Malaysia lagi ke Olimpik 2024.

Tze Liang dikhabarkan mempunyai peluang tipis ke Olimpik 2024.

“Bagaimanapun, situasi ini masih belum muktamad dan kita masih mempunyai peluang, walaupun sangat tipis. Kita hanya perlu tunggu sehingga 8 Julai untuk mengetahui jika terdapat berita baik mengenai keputusan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Akuatik Dunia,” ujar Bryan ketika ditemui pada Khamis.

Terdahulu, kem terjun negara dikhabarkan mempunyai harapan apabila seorang atlet Jepun dalam ranking 19-20 tidak dihantar ke Olimpik, sekali gus membuka peluang buat Malaysia untuk merebut tiket ke temasya berprestij itu.

Namun, terdapat perubahan baru-baru ini dimana Olimpik Paris mengurangkan bilangan peserta acara 3 meter lelaki kepada 25 orang, sekali gus menjadikan nasib Tze Liang samar-samar untuk tersenarai sebagai atlet terjun ke Olimpik nanti.

Setakat ini, Nur Dhabitah Sabri dan Bertrand Rodhict antara atlet terjun yang secara rasmi sudah layak ke persada Sukan Olimpik Paris yang berlangsung pada 26 Julai hingga 12 Ogos 2024 ini.