BIARPUN hanya Bertrand Rhodict Lises layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit, harapan buat beberapa penerjun lain masih ada namun amat tipis.
Pengarah Teknikal Sukan Terjun negara, Bryan Nickson Lomas berkata, atlet elit negara tetap menjalani latihan seolah-olah mereka akan beraksi di Paris dan akan sentiasa bersedia sekiranya nama mereka tersenarai dalam senarai terakhir yang akan diumumkan Renang Dunia (World Aquatics), Jun nanti.
“Penerjun kita yang ada peluang adalah Ooi Tze Liang, tetapi peluang yang ada agak tipis.
“Dia berada di ranking ke-23, jadi saya boleh katakan peluang dia 30-70 untuk ke Paris dalam acara 3 meter (m) papan anjal,” kata Bryan.
Menurut beliau, sekiranya kedudukan Tze Liang di tangga ke-20, peluangnya mungkin 50-50, namun berdasarkan quota atlet yang akan bertanding dalam acara 3m papan anjal di Paris, World Aquatics menyediakan kuota 26 atlet.
Beliau berkata, enam lagi quota yang dipanggil Reallocation of unuesed quota, belum diberi kepada mana-mana penerjun dan hanya akan diputuskan pada Jun.
“Meskipun Tze Liang berada di kedudukan ke-23, tidak semestinya dia akan mendapat quota itu, World Aquatics akan menolak nama-nama atlet yang sudah layak di kejohanan dunia, dan akan menaikkan penerjun yang berada di kedudukan terbaik di kejohanan terbabit, jadi kita tidak boleh terlalu yakin dengan peluang Tze Liang.
“Jika diikutkan, Dhabitah (Nur Dhabitah Sabri) juga ada peluang kerana dia berada di kedudukan ke-24 (3m papan anjal) tetapi tetap tipis.”
Menurut Bryan, berdasarkan tiga temasya terakhir iaitu di Tokyo 2020, Rio 2016 dan London 2012, World Aquatics menyediakan quota 29 penerjun bertanding dalam acara 3m papan anjal, biarpun hanya 27 yang bertanding di Tokyo dalam kategori wanita.
“Asalnya quota hanya 24 tetapi pada tiga temasya terakhir 29 org bagi 3m papan anjal, jadi kita tunggu sahaja pengumuman rasmi World Aquatics nanti,” kata Bryan.