TANPA menghiraukan peluangnya ke Paris, penerjun berpengalaman Ooi Tze Liang tetap menjalani latihan seolah-olah akan bersaing di kejohanan besar.

Tze Liang, 30, berkata, bukan sehari dua kebelakangan ini dia baru menjalani latihan intensif, malah sejak berakhirnya Kejohanan Dunia Akuatik di Doha, Februari lalu, dia menjalani latihan sebagaimana penerjun yang sudah layak ke Olimpik, terutamanya selepas diminta bersedia dengan kemungkinan tersenarai menerusi kuota yang tidak digunakan negara lain.

Menantikan hari esok, Tze yang pernah beraksi di Olimpik Rio 2016 tetap tenang dan mahu menjalani rutin seperti biasa.

“Saya lakukan persiapan dengan intensiti sama, tetap pada intensiti tinggi.

“Ini bukanlah bakal menjadi Olimpik kedua saya (jika layak) kerana sudah beraksi di Rio,” kata Tze Liang yang menunggu peluang untuk beraksi dalam acara 3 meter (m) papan anjal, namun tetap menaruh harapan untuk beraksi di Sukan Olimpik ke-33.

Peluang buat Ooi Tze Liang ke Olimpik Paris 2024 cukup tipis biarpun berada di ranking ke-23 acara 3m papan anjal.

Menurutnya, tidak timbul isu persiapan lebih baik atau sebaliknya jika dapat mengetahui nasibnya lebih awal, kerana pihak pengurusan persatuan sudah meminta dia menjalani latihan seperti akan beraksi di Temasya Sukan terbesar dunia itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Andy Low ketika dihubungi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima apa-apa berita daripada Renang Dunia (WS) mengenai nasib Tze Liang, namun jika sehingga esok masih tiada pemberitahuan daripada WS, Tze Liang sudah boleh melupakan hasrat ke Paris.

Pada Temasya Rio, Tze Liang menamatkan saingan dalam acara 10m platform pada kedudukan ke-22 keseluruhan.