PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong takut berdepan dengan pihak media kerana bimbang tersalah mengeluarkan kenyataan.
Tidak hairan mengapa setiap kali pihak media cuba mendapatkan perkembangan daripadanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), dia sering mengelak sehinggakan ada yang menggambarkan situasi itu bagaikan animasi ‘Tom & Jerry’.
Pada sidang media di ABM yang turut dihadiri jurulatihnya, Hendrawan dan Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky, Tze Yong yang kini menduduki ranking ke-15 dunia, mengakui bimbang jika mengeluarkan kenyataan yang salah dan kelak mendapat hentaman bertubi-tubi daripada pihak luar.
“Ya saya berasa agak takut ketika berjumpa media… kerana takut salah cakap selepas itu saya kena hentam,” katanya.
Kebimbangan Tze Yong itu disokong Hendrawan yang menyifatkan pemainnya seorang yang tidak banyak cakap.
Sementara itu, Tze Yong berkongsi mengenai perkembangan dirinya yang mahu mempamer aksi terbaik di Terbuka Malaysia yang bermula Selasa ini.
Pemain berusia 24 tahun itu mendapat khidmat pakar kecergasan dari Institut Sukan Negara (ISN), yang juga bekas jurulatih kecergasan kepada Datuk Lee Chong Wei.
Jelasnya dengan inisiatif barisan kejurulatihan itu, diharap mampu membuka laluan lebih cerah buat Tze Yong untuk mendapatkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Setelah dua bulan menjalani latihan fizikal bersama jurulatih baru, saya rasa ianya bagus untuk saya kerana semuanya lebih spesifik dan membantu badan jadi lebih kuat.
“Latihan pada tahun lalu memang ada beza dengan sekarang, dulu sekali atau dua kali sesi latihan tidak rasa impak apa-apa pada permainan saya.
“Dan untuk kejohanan Terbuka nanti pastinya saya akan bagi yang terbaik dalam setiap perlawanan kerana kejohanan seperti ini bukan selalunya ada,” ujarnya.