KECEDERAAN membelenggu Ng Tze Yong ketika ini, membuatkan dia mengetepikan seketika segala persoalan berkaitan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris.

Menurutnya, kecederaan otot tulang belakang yang dialami, memerlukannya untuk fokus kepada pemulihan terlebih dahulu, dalam masa sama mengekalkan tahap kecergasannya.

Meskipun kini berada di ranking ke-15 dunia, dan tergelincir ke angka sama perlumbaan ke Paris, pemain kelahiran Johor itu optimis akan melepasi kelayakan, sekali gus dapat mengiringi Lee Zii Jia ke Temasya Paris.

Ng Tze Yong kini di ranking ke-15 dunia.

“Saya tak mahu fikir terlalu banyak mengenai Olimpik ketika ini kerana perlu menangani masalah kecederaan ini.

“Tetapi dengan baki kejohanan (kelayakan) yang ada, saya yakin mampu layak,” kata Tze Yong.

Katanya, selepas mengalami kecederaan, permainannya dalam latihan sememangnya tidak sama seperti sebelumya.

Tze Yong mengalami kecederaan di pusingan pertama Terbuka Malaysia sekali gus menyaksikan dia keciciran beberapa kejohanan termasuk Terbuka India dan Indonesia Masters.

Justeru, Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 minggu hadapan, menjadi kejohanan pertama buatnya mengumpul mata kelayakan bagi tahun ini.