JURULATIH perseorangan negara, Hendrawan mengakui kekalahan Ng Tze Yong pada hari ini bakal menjadi suatu pelajaran bermakna bagi dirinya yang tidak boleh dipelajari dari sesiapa.

Menurut jurulatih itu, pengalaman dan kemampuan Kodai jauh mengatasi kemampuan Tze Yong.

“Saya percaya kekalahan Tze Yong pada hari ini akan buat dia lebih kuat kerana pengalaman pada hari ini tidak boleh diajarkan dan diberi. Ini harus dia jalankan dan dialami sendiri.

“Memang nampak Tze Yong mendapat pengalaman berharga. Macamana dia menangani perubahan situasi dalam perlawanan. Saya akui Ng Tze Yong masih kalah di situ,” katanya.

Mengulas situasi yang mengubah tempo perlawanan pada set kedua, jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu menegaskan Tze Yong kelihatan agak kurang bersabar sehingga terlupa strategi yang diterapkan jurulatihnya sebelum perlawanan bermula.

“Mungkin keinginan menangnya terlalu besar tetapi dia terlupa strateginya. Dia cuma hanya fikirkan bagaimana mahu dapat mata.

“Padahal, dari awalnya dia lebih sabar tetapi dia terlalu terburu-buru mahukan kemenangan pada set kedua,” jelasnya.

Dalam pertarungan sengit sejam setengah itu, Tze Yong hampir mengejutkan pemain ranking ketujuh dunia, Kodai Naraoka dari Jepun, sebelum akur tewas 21-15 19-21 15-21.

Kekalahan tersebut turut menyaksikan tiada wakil negara dalam acara perseorangan pada peringkat suku akhir Terbuka Malaysia esok.