TINGGAL satu wakil negara mengibarkan cabaran di kejohanan badminton Terbuka Perancis selepas satu demi satu gugur di pusingan kedua semalam.

Ng Tze yong yang kini di ranking ke-11 dunia, menjadi wakil tunggal ke suku akhir selepas menyingkir pemain tuan rumah, Arnaud Merkle.

Pada perlawanan berlangsung di Arena Glaz, pemain berusia 23 tahun itu mudah mengatasi Merkle 21-19, 21-8 dalam masa 47 minit.

Ng Tze Yong akan berdepan pemain nombor empat dunia, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand di suku akhir Terbuka Perancis.

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu akan berdepan pilihan keempat kejohanan, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand pada aksi suku akhir, selepas pemain lawan mengatasi jaguh Taiwan, Chou Tien Chen.

Dalam pada itu, juara Terbuka Arctic, Lee Zii Jia, tewas kepada pemain China, Li Shi Feng 21-17, 11-21, 12-21.

Pemain di ranking ke-11 dunia itu muncul naib juara di Terbuka Denmak hujung minggu lalu, namun gagal mara lebih jauh kali ini.

Nasib malang turut menimpa beregu wanita profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien apabila ditunjuk jalan pulang oleh pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-8, 21-18.