PENGANALISIS sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan kenyataan dibuat bekas pemain pelapis Persatuan Badminton Malaysia (BAM), agak melampau dan terpesong sama sekali.

Tegasnya, ini bukan soal rasis sahaja tapi ia menyentuh tentang amalan ibadah seseorang yang beragama islam.

“Kenyataan rasis ini agak melampau dan saya pasti tuduhan pertama bahawa ramai Melayu dalam BAM itu menyebabkan badminton tidak maju sangat tidak tepat dan terpesong sama sekali.

“Betul ke ramai Melayu?? atau kenyataan ini terbalik? Rasanya tuduhan ini macam menyembunyikan perasaan yang terbuku sudah sekian lama dan ini peluang beliau melepaskan geram,” jelasnya.

Dr Pekan juga berpandangan tuduhan kerana Melayu dan Islam sembahyang lima kali sehari punca tak maju juga ini satu tuduhan yang amat melampau.

“Naif sangat beliau seolah-olah setiap orang islam yang bekerja itu apabila berhenti sebentar mengerjakan solat itu mereka ‘curi tulang’ atau ponteng kerja.

“Kenyataan ini kalau di negara islam lain boleh menimbulkan ketegangan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, bekas atlet ini memang memendam perasaan tidak puas hati ini sudah sekian lama dan beliau memang bukan seorang warganegara yang baik dan peka serta tidak bersyukur dilahirkan di Malaysia.

“Saya rasa kalau pun ada ucapan maaf dari beliau ianya tidak memadai. Beliau tidak harus terlepas daripada tindakan undang-undang negara kita biar di mana dia berada sekarang.

“Tambahan kalau kenyataan itu datangnya dari seorang ahli sukan yang lebih memahami ‘no racism‘ dalam sukan yang menjadi piagam utama di seluruh dunia,” katanya.