KELANTAN FC akan membuat laporan polis terhadap salah seorang peminat yang menghantar ugutan bunuh kepada pemain import baru, Christian Mangaron Rontini.

Laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dibuat terhadap peminat berkenaan.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, dia amat terkejut dan kecewa dengan tindakan peminat Kelantan yang menghantar ugutan bunuh kepada pemain baru Kelantan FC Christian Mangaron Rontini.

“Sepatutnya sebagai fans yang bijaksana haruslah menyambut baik kehadiran pemain baru, lebih lagi Mr Rontini adalah pemain import yang harus ditunjukkan budaya Malaysia yang peramah dan baik.

“Lebih lagi budaya masyarakat Kelantan yg bertatasusila selagi tidak kacau. Sekali lagi saya kecewa dengan kenyataan ugutan fans ini dan sudah meminta team pengurusan buat satu laporan polis dan SKMM.

“Ugutan bukanlah sesuatu perkara main-main! Jagalah maruah ini,” jelasnya.

Terdahulu seorang penyokong Kelantan FC yang menggunakan nama “Perkhidmatan Menghantar Motosikal” membuat kenyataan kepada Mangaron Rantini.

“Anda seharusnya tahu, jika anda bermain tidak bagus bersama Kelantan, anda akan mati,” tulis kenyataan peminat tersebut.

Cristian Rantini merupakan bekas penyerang Penang FC dan diperkenalkan secara rasmi menyertai Kelantan FC bagi memperkuatkan pasukan musim ini.