SEPERTI yang sudah dijangka, kontinjen Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan mudah menggondol gelaran juara keseluruhan Karnival Sukan Masum 2024 Fasa 1 yang telah berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 22 hingga 26 April 2024.

UiTM berjaya mengumpul sebanyak 29 pingat emas, 13 perak dan 11 gangsa sekali gus jauh meninggalkan pencabar terdekat iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menduduki tempat kedua dengan kutipan pingat sebanyak 11 emas, 5 perak dan 11 gangsa.

Ketua Kontinjen UiTM, Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee berkata, setiap atlet mempamerkan semangat yang luar biasa sungguh pun dalam cuaca yang sangat panas pada waktu ini.

Barisan kontinjen UiTM yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang di Masum 2024 Fasa 1.

“UiTM telah berjaya mendominasikan beberapa acara sukan di sepanjang kejohanan ini. Dalam keadaan cuaca yang sangat panas di sini, atlet masih berjuang dengan semangat yang tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Karnival Masum masih belum berakhir dan akan bersambung pada fasa 2 nanti, di Universiti Malaya pada 6 sehingga 12 Mei 2024 depan.

Dengan berbekalkan semangat juara ini, UiTM masih yakin dapat mengungguli karnival fasa 2 itu, dengan 10 acara akan dipertandingkan seperti sukan sofbol, bola jaring, badminton, ragbi 7s, bola baling, boling padang, bola keranjang, skuasy, karate dan tenis.