UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah melanjutkan Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) selama tiga tahun bermula tahun 2023 sehingga 2025 dengan beberapa inisiatif penting telah diusulkan bagi memantapkan lagi ilmu kesukanan dalam kalangan atlet.
Turut hadir bagi menyaksikan perjanjian MoU tersebut adalah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menganggap kaedah ini sebagai satu platform bagi membantu golongan atlet muda melanjutkan pelajaran di UiTM dan dalam masa yang sama dapat menjalani sesi latihan sukan seperti biasa.
Menurut Hannah juga, program MoU ini mungkin menjadi satu cara untuk mengubah persepsi segelintir ibu bapa yang menjangka karier sukan ini tidak mempunyai masa hadapan sejurus membuka mata mereka tentang kepentingan sukan untuk anak-anak mereka sendiri.
“Memang tujuan utama perjanjian persefahaman ini diadakan untuk membuka satu ruang baru kepada semua atlet yang ingin mendapatkan pendidikan tinggi dan UiTM yang mempunyai kampus di seluruh negeri akan membantu merealisasikan impian atlet-atlet ini.
“Saya percaya bahawa hasrat UiTM juga adalah untuk membantu golongan atlet kita yang mungkin akan bersara atau telah bersara dan menjadikan pendidikan sebagai salah satu pilihan mereka selepas itu.
“Secara teknikal juga kita akan melihat jadual pelajar-pelajar atlet ini dengan lebih terperinci supaya dapat menjadikan ia seperti ‘atlet friendly’ dan faedahnya agar mereka ini tidak tercicir dari segi akademik mahupun sukan yang mereka dalami,” katanya selepas selesai Majlis Menandatangani MoU di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM iaitu Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib juga menegaskan bahawa UiTM akan memperkasakan pengurusan sukan negara dan membantu para atlet untuk mencapai pengajian hingga ke peringkat Phd.
“Sistem atau ‘mode’ pengajian mereka ini bukan sahaja dalam sepenuh masa, malah kami tawarkan pembelajaran secara ‘online learning’, separuh masa dan juga beberapa sistem yang boleh diguna pakai lagi.
“Atlet ini bukan khusus kepada bidang Sains dan Sukan sahaja, mereka boleh melanjutkan pengajian dalam bidang apa yang mereka mahu seperti Pengurusan, Kedoktoran dan lain-lain lagi. Pihak UiTM dengan senang hati menawarkan keseluruhan bidang kami kepada semua atlet negara,” ujarnya.