BOLA sepak adalah sukan paling popular nombor satu dunia termasuk di negara kita.

Bilangan penyokong dan peminat bola sepak boleh dikatakan bertambah pada setiap hari dan kita boleh lihat pelbagai gelagat para peminat fanatik bola sepak tempatan ketika pasukan negara mahupun negeri dan kelab mereka beraksi.

Sebagai sebuah pasukan bola sepak mahupun sebahagian daripada Keluarga UiTM, UiTM FC mengambil pendirian menentang segala bentuk penindasan, terutamanya berkaitan agama, bangsa dan warna kulit.

“Bola sepak adalah sukan yang menyatukan untuk semua dan bukan untuk memecahkan.

“Bersama kita hapuskan sikap perkauman, diskriminasi dan sikap tidak bertolerasi dalam sukan bolasepak

“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” kata kenyataan UiTM FC di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, pemain tengah Khon Kaen, Liridon Krasniqi meluahkan kekecewaannya terhadap kritikan dilakukan peminat bola sepak tanah air kepada Mohamadou Sumareh yang diturunkan ketika Malaysia tewas kepada Tajikistan menerusi sepakan penalti pada perlawanan akhir Piala Raja Thai, pada Ahad.

Dalam satu hantaran yang dikongsikan di laman Instagramnya, Liridon memuat naik satu gambar bersama kapsyen pemain naturalisasi akan dianggap sebagai warga Malaysia sekiranya menang, namun jika sebaliknya mereka akan digelar sebagai imigran.

FLASH SUKAN merayu agar para peminat dan netizen janganlah terus mencemarkan bola sepak dengan unsur perkauman seperti ini.

Katakan tidak kepada rasisme dalam sukan, majulah sukan untuk negara.