PASUKAN UiTM Shah Alam terus mengukuhkan cengkaman selaku juara bertahan Piala Sumbangsih liga bola sepak institut pengajian tinggi (LBSIPT) 2022/2023 dengan kemenangan 2-1 membenam UPNM.
Ia sekaligus melebarkan rekod kejuaraan pasukan UiTM yang dahagakan gelaran juara setelah kejohanan tersebut terpaksa dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19 pada edisi 2020 dan 2021.
Pada 20 minit babak pertama jelas dikuasai UiTM Shah Alam dengan beberapa serangan kilat yang diatur ke kubu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Namun, penguasaan tuan rumah tidak memberi sebarang kelebihan kepada UiTM Shah Alam apabila pelawat mudah mengambil peluang menerusi kesilapan di bahagian tengah tuan rumah dengan menyegerakan counter attack yang disusun rapi Muhammad Syamil Irfan Mohd Hisham sebelum membuat hantaran tepat kepada Thinesvarman Nathan yang mudah melakukan curling shot menewaskan penjaga gol UiTM , Amar Haziq Mohd Fadzli sekaligus meletakkan kelebihan satu gol buat UPNM pada minit ke -19.
Layangan kad kuning pertama pasukan tuan rumah hadir pada minit ke 40 yang diberi kepada Aiman Safiuddin Mohd Sobri kerana mengasari pelawat.
UPNM hampir menambah derita tuan rumah setelah rembatan Muhammad Hadi Mohamad sekadar singgah di palang gol tuan rumah menyaksikan pelawat terlepas peluang keemasan pada minit ke-43.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel babak pertama dibunyikan menyaksikan UPNM mendahului 1-0.
ARTIKEL BERKAITAN : Piala Sumbangsih Liga LBSIPT 2022/2023 : UiTM dan UPNM buka tirai saingan
Sebaik babak kedua bermula, pemain jersi No.19, Muhammad Mirza Malik Mazlan memberi kelegaan kepada tuan rumah apabila berjaya menyumbat masuk gol penyamaan pada minit ke -52 sekaligus mengembalikan keceriaan kepada penyokong tuan rumah.
Seakan menerima suntikan semangat, UiTM Shah Alam terus mempamerkan aksi bertenaga dengan jaringan kedua pada minit ke-65 menerusi rembatan padu Muhammad Zharif Nazhan Refli sekaligus meletakkan UiTM terus mengekalkan rekod juara bertahan.