UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) berjaya mengekalkan kejuaraannya pada Karnival Sukan MASUM 2024 setelah menamatkan kejohanan pada Fasa 2 ini dengan cemerlang.

UiTM telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Sukan MASUM 2024 selama enam tahun berturut-turut dengan kutipan pingat sebanyak 41 emas, 29 perak dan 27 gangsa secara keseluruhan Fasa 1 dan Fasa 2 karnival sukan itu.

Pengarah Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohammed berkata kejayaan ini telah diduga kerana komitmen yang ditunjukkan oleh para atlet dan pengurusan sangatlah tinggi.

Beliau turut menambah bahawa para atlet terpaksa mengorbankan masa dalam pelajaran semata-mata untuk berjuang demi nama universiti.

“Karnival Sukan MASUM 2024 pada kali ini terpaksa dianjurkan pada waktu semester bermula.

“Para atlet terpaksa mengorbankan masa belajar mereka demi berjuang untuk menaikkan nama UiTM.

“Komitmen yang diberikan oleh atlet dan juga pengurusan amatlah memberangsangkan dengan cuaca yang tidak menentu mereka tetap meneruskan latihan. Kejayaan ini hasil daripada usaha mereka,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan.

Majlis penutup Karnival Sukan MASUM 2024 telah berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Turut hadir majlis penutup itu ialah Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Pengerusi MASUM dan Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor UniversitiMalaya.