UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) melancarkan satu program Kayuhan Kapsul Rentas Cawangan Sempena 25 Tahun UiTM di kampus induk, Shah Alam pada Khamis.

Program kayuhan yang bertemakan ‘Menuju Kelestarian Alam Sekitar’ merupakan sebahagian daripada program-program yang akan dijalankan oleh pihak universiti dalam menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun universiti tersebut.

Program kayuhan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, yang turut mengetuai sesi Flag Off pasukan kayuhan itu.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, YBhg Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, yang turut mengetuai sesi Flag Off pasukan kayuhan UiTM.

Simbolik kayuhan ini adalah membawa kapsul yang mengandungi hasrat serta harapan setiap kampus UiTM, dengan kapsul ini akan dipahatkan di sebuah monumen yang akan dibina dan dirasmikan semasa sambutan Malam Gala 25 Tahun UiTM pada 24 Ogos 2024.

Program kayuhan ini melibatkan 12 pengayuh dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran serta empat pengayuh dari kalangan pelajar universiti.

Hari pertama kayuhan dari UiTM Shah Alam hingga UiTM Cawangan Negeri Sembilan juga turut disertai oleh Naib Canselor UiTM, YBrs Prof. Dr Shahrin Sahib yang turut akan menyertai pasukan kayuhan untuk beberapa destinasi cawangan.

Antara peserta yang terlibat dalam program kayuhan itu.

Para pengayuh akan mengayuh basikal sejauh 2,000 km merentasi Semenanjung Malaysia dalam tempoh dua minggu bermula 20 Jun sehingga 2 Julai ini.

Menurut Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), YBhg Prof. Ismie Dr Roha Mohamed Jais berkata bahawa saringan kesihatan dan kecergasan telah dilakukan sebelum terpilih untuk menyertai program tersebut.

“Untuk pemilihan ini, ia dilakukan secara teliti oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dimana mereka yang terlibat ini melalui satu proses yang terperinci untuk dilihat dari segi kecergasan, penglibatan kayuhan dan kilometer yang telah dilalui dalam tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Naib Canselor UiTM, YBrs Prof. Dr Shahrin Sahib turut terlibat menyertai pasukan kayuhan untuk beberapa destinasi cawangan.

Kayuhan ini turut mendapat penyertaan istimewa daripada Pemangku Raja Perlis yang akan mencemar duli untuk program kayuhan di UiTM Cawangan Perlis pada 28 Jun 2024.

Acara kemuncak adalah kayuhan penutup oleh Raja Muda Selangor yang akan mengayuh dari UiTM Puncak Alam ke UiTM Shah Alam pada 2 Julai 2024 ini.