KEJOHANAN Tenpin Boling Piala Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2023 telah menutup tirainya pada Sabtu dengan menyaksikan UiTM Negeri Sembilan menjulang trofi sebagai juara keseluruhan bagi acara ini.

UiTM Negeri Sembilan telah mengungguli carta pertama dengan pencapaian sembilan pingat keseluruhan termasuklah lima Emas, tiga Perak, dan satu Gangsa.

Kejayaan yang berjaya dirangkul UiTM Negeri Sembilan ini tidak hanya mencerminkan kecemerlangan atlet, tetapi juga semangat kesukanan yang tinggi dan membawa bersama kebanggaan di kalangan komuniti UiTM.

Seterusnya, tempat kedua telah dimenangi UiTM Shah Alam dengan lapan pingat berjaya dikumpul termasuk lima Emas, satu Perak, dan dua Gangsa sejurus menunjukkan prestasi yang kukuh untuk menduduki tangga teratas.

Tempat ketiga pula telah diraih oleh pasukan UiTM Cawangan Selangor manakala tempat keempat dimenangi oleh UiTM Cawangan Perak.

Jelas bahawa program anjuran UiTM Cawangan Kelantan dan Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan UiTM (PSKK) ini telah membuka saingan yang hebat iaitu melibatkan lima acara antaranya adalah perseorangan, beregu, berpasukan, ‘all event’ dan ‘master’ untuk kategori lelaki dan wanita.

Matlamat utama UiTM dengan menjayakan inisiatif program tahunan ini adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan lebih mengenali antara satu sama lain di antara warga UiTM di seluruh kampus.

Untuk rekod, sebanyak 17 buah pasukan telah turut serta dalam kejohanan ini sekali gus menyumbang kepada daya saing yang sengit pada perlawanan yang diadakan.