UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) optimis untuk merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Sukan Institusi Tinggi (SUKIPT) 2024 yang akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, dari 6 hingga 14 September ini.
Dalam satu majlis penyerahan bendera yang berlangsung semalam, UiTM telah mengumumkan penyertaan seramai 510 atlet dan 74 pegawai yang akan bertanding dalam 28 acara sukan.
Timbalan Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi, menyatakan bahawa kejayaan besar yang diraih UiTM dalam Karnival Sukan MASUM 2024 yang lalu akan menjadi pembakar semangat untuk merebut kejuaraan SUKIPT kali ini.
Beliau juga mengakui cabaran yang dihadapi oleh para atlet dan staf pengurusan yang perlu mengimbangkan persiapan sukan dengan peperiksaan akhir yang sedang berlangsung pada masa yang sama.
“Dengan semangat yang tinggi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, UiTM optimis untuk membawa pulang kejuaraan SUKIPT 2024 dan terus membuktikan keunggulannya dalam arena sukan institusi tinggi di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Majlis penyerahan bendera tersebut turut dihadiri oleh beberapa pegawai tinggi UiTM, termasuk Prof. Madya ChM Dr. Mohammad Noor Jalil, Pengarah Pembangunan Pelajar (HEP), Ahmad Tarmizy Mohammed, Pengarah Sukan UiTM, En. Zamri Abdul Kahar, Timbalan Pengarah Sukan Kanan, dan Mohd Yazli Yahya, Timbalan Pengarah Sukan UiTM.