UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) bakal menandatangani memorandum persefahaman bersama Persekutuan Lawn Bowl Malaysia  (PLBM) bagi meningkatkan kadar kualiti dan semangat kesukanan dalam kalangan para pelajar.

Kerjasama yang bakal dijalin itu juga akan menjadikan UiTM sebagai universiti berpengaruh dan mendedahkan lebih ramai pakar dalam bidang sukan boling padang yang berkualiti tinggi serta pertukaran kepakaran teknikal serta professional.

Tambahan pula, terdapat juga beberapa atlet boling padang UiTM yang berjaya menempah nama sehingga ke persada antarabangsa seperti Aleena Ahmad Nawawi dan Nur Ain Nabila yang memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia Gold Coast, Australia pada September lalu.

Dengan itu, jelas bahawa jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak bakal memberi impak positif lagi dalam sukan boling padang di Malaysia sejurus memangkin semangat pelajar untuk mencuba sukan yang masih belum mendapat pendedahan sewajarnya daripada masyarakat.

Sementara itu,  kerjasama antara dua pihak iaitu UiTM dan Persekutuan Lawn Bowl akan dimeterai pada 20 Februari depan,  bersama-sama dengan Majlis Anugerah Sukan berlangsung.