PASUKAN Bola Sepak UiTM kini melakukan penjenamaan semula dan meletakkan nama pasukan baharu iaitu UiTM United bagi mendapatkan semangat baharu dalam dunia sukan bola sepak.
Presiden UiTM United, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi yang merasmikan majlis tersebut menyatakan akan memberikan sokongan yang penuh kepada pasukannya untuk terus kekal relevan berada dalam Liga Bola Sepak di Malaysia.
Beliau selaku Timbalan Naib Canselor HEP UiTM berkata, penjenamaan baharu pasukannya juga akan memberikan suntikan semangat baru kepada pemain dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha mengharumkan nama universiti mereka sendiri.
“Ini kerana, UiTM mempunyai sistem pembangunan atlet yang sangat baik dimana UiTM sentiasa melahirkan atlet-atlet bola sepak bagi mewarnai liga-liga Bola Sepak Malaysia,” ujarnya.
Pengurus UiTM United, Ahmad Tarmizy Mohammed menyasarkan untuk berada di empat pasukan terbaik dalam perlawanan Liga Amatur Malaysia (Liga M4) 2023 yang akan berlangsung pada 3 Jun ini.
“UiTM United tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadi juara pada musim ini tetapi akan berjuang sehabis baik untuk menjadi empat pasukan terbaik dan berusaha mendapatkan tempat di Liga M3 pada musim hadapan,” katanya dalam majlis pelancaran logo dan memperkenalkan pemain UiTM United di Shah Alam pada Rabu.
UiTM merupakan salah satu pasukan yang akan membuka tirai Liga M4 dan bakal beraksi menentang Real Chukai FC pada Sabtu ini di Stadium UiTM Shah Alam.