TIDAK patut wujud alasan daripada seorang atlet bahawa tidak mengetahui apa dimakan sehingga ‘kantoi’ ujian doping.
Teguran itu dibuat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, apabila isu doping membabitkan atlet negara, terus berlaku.
Tahun lalu, isu doping memalit temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur, manakala selepas Sukan Sea Kemboja, dua bulan lepas, muncul pula isu doping membabitkan atlet olahraga negara yang tidak mengambil bahagian di temasya dwi tahunan itu.
Atlet Kejohanan trek gagal ujian kawalan doping – Adamas
Malah pada awal Jun lalu, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mendedahkan seorang atlet olahraga negara positif doping kerana mengambil bahan terlarang jenis sibutramine, yang biasanya terdapat dalam bahan pemakanan diet untuk menguruskan badan.
“Atlet tidak boleh bagi alasan mereka tak tahu apa mereka telah makan. Adamas, MSN (Majlis Sukan negara) sudah buat perlbagai perkara… jadi saya minta kerjasama persatuan sukan, jurulatih dan ibu bapa serta atlet itu sendiri ambil perhatian,” kata Hannah, selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan kepada Kod Sukan Selamat bersama ahli-ahli jawatankuasa dan pegawai kawalan doping dan pendidik Adamas, di Menara KBS, Putrajaya.
Selain pemakanan ubat diet dan kurus, Hannah turut menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap atlet kebangsaan mengambil makanan yang dipesan dari luar seperti restoran-restoran.
Adamas belum terima surat tunjuk sebab atlet olahraga kantoi doping. Beri masa hingga 11 Julai sebelum mulakan siasatan, perbicaraan dan hukuman.
— Flash Sukan (@FlashSukan) July 3, 2023
“Saya kadang-kadang mengikuti kemaskini status atlet di media sosial mereka, dan mereka membuat hantaran gambar makanan yang mereka beli semua itu.
“Saya bimbang mereka tak jaga pemakanan jadi saya rasa kita kena perketat dan perkasakan kesedaran. Kalau tidak, memang sia-sia duit kita laburkan semua tu, apabila mereka kena tangkap (doping),” kata Hannah.
Justeru, beliau mahu pihak berwajib menegaskan hal itu dalam memastikan atlet negara lebih berdisiplin termasuk aspek penjagaan pemakanan.