JUARA dunia MotoGP 2023, Pecco Bagnaia kembali menunjukkan belangnya apabila mencatatkan masa sepusingan terpantas pada hari ketiga dan terakhir ujian pramusim MotoGP 2024 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Pelumba pasukan Ducati Lenovo Team itu turut memecahkan rekod sepusingan litar yang dipegang rakan sepasukannya, Enea Bastianini pada Rabu dengan catatan masa 1 minit 56.662 saat sekaligus memberikan amaran cabarannya sebagai penyandang juara.
Masa kedua terpantas menjadi milik Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing yang mengakui dia dan pasukan sudah menjumpai pakej yang terbaik menjelang perlumbaan pembukaan di Qatar manakala Enea Bastianini pula mencatat masa ketiga terpantas.
Bagnaia mengakui gembira dengan pakej yang dibawa pasukannya dan berharap meraih satu lagi keputusan terbaik menjelang ujian terakhir di Qatar pada 19 Februari.
“Saya gembira dengan keputusan di sini yang ternyata luar biasa tetapi ia hanya sekadar ujian. Saya tidak terlalu memikirkan mengenai prestasi yang baik dalam ujian kerana di sini kami mencari pelarasan yang sempurna untuk digunakan pada musim ini.
“Jangkaan saya, ramai pelumba lain akan tampil dengan baik seperti Enea kerana saya fikir dia beraksi dengan baik di sini selain Jorge Martin pasti meningkatkan prestasinya dan juga Alex Marquez sangat kompetitif serta Marc Marquez yang semakin selesa dengan jentera” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi hari ketiga.
Selepas tamat sesi pramusim MotoGP Sepang Test, Ducati membuktikan mereka bersedia untuk menghadapi perlumbaan musim 2024 ini selepas mendominasi kesemua sesi sepanjang tiga hari berturut-turut.