PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) akan meneruskan gerak kerja yang sama seperti dijalankan pada tahun 2023 untuk membanteras gejala doping atau penyalahgunaan bahan terlarang di kalangan atlet.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat menyatakan bahawa kerjasama antara pihaknya dan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) telah membantu usaha untuk menghentikan kegiatan itu daripada terus berlaku.

Tambahan lagi, Adamas juga bergerak secara telus dalam melakukan saringan doping secara berkala dan mengejut bagi setiap atlet angkat berat dan perkara itu telah menjayakan lagi misi PABM untuk melihat atlet-atlet mereka bebas dari doping.

“Kita sudah berusaha sejak 2018 untuk menangani masalah doping ini dan sepatutnya perkara ini tidak berlaku lagi.

“Para atlet mahupun jurulatih dari setiap negeri sepatutnya sudah faham tentang perkara ini tetapi mungkin mereka lalai dan lupa apabila melihat nilai ganjaran atau pingat yang dihadiahkan sewaktu kejohanan.

“Apa gunanya kita berebut dapatkan pingat dan sebagainya terutama di pentas Sukma, tetapi dalam masa yang sama kita telah bunuh masa depan atlet? Jadi kita kena seimbang, biar atlet bertarung dengan cara yang wajar dan betul,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Susulan itu, Ayub turut berharap agar tahun 2024 ini dapat mengekalkan nama baik acara angkat berat Malaysia dan tiada terpalit dengan sebarang isu doping lagi terutamanya di Kejohanan Sukma tidak lama lagi.

Sebelum ini, acara angkat berat sering menjadi tumpuan utama bagi isu doping dalam kalangan atlet dan perkara itu telah dibuktikan lagi dengan keputusan positif doping oleh dua pemenang Sukma 2022.