MESKIPUN memiliki peluang terbaik meraih gelaran pertama musim ini, kesilapan mudah tetap dilakukan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyaksikan mereka terus kempunan merangkul kejuaraan Jelajah Dunia BWF kali ketiga, apabila tewas di final Thailand Masters pada Ahad.
Baik Tang Jie mahupun Ee Wei, kedua-duanya sedar masih banyak perlu diperbaiki, walaupun berada dalam kelompok 10 terbaik dunia sehingga berjaya melayakkan diri ke Jelajah Dunia Akhir BWF Disember lalu.
Malah Ee Wei mengakui kesilapan mudah menghukum mereka ketika berdepan pasangan tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.
“Kami perlu belajar bagaimana untuk mendapatkan mata penting, itu pengalaman yang ada pada mereka. Bukan tidak ada perkara yang positif tetapi kami harus membuat keputusan yang betul jika berdepan situasi sedang merebut mata penting,” kata pemain kelahiran Melaka itu selepas perlawanan semalam.
Pertembungan antara pilihan utama dan kedua yang dijangka berlangsung sehingga ke rubber set, namun berkesudahan straight set memihak Dechapol-Sapsiree dengan keputusan 21-12, 21-18.
Sementara itu, Tang Jie mengakui bahawa dia juga perlu mengambil tanggungjawab di atas kekalahan berkenaan kerana tidak melindungi Ee Wei ketika pasangan lawan melakukan serangan di dalam gelanggang.
“Saya tidak melindungi pasangan saya dengan baik seperti yang dilakukan mereka terutama ketika Ee Wei sedang bertahan, jadi saya harus ambil tanggungjawab ini (atas kekalahan berkenaan).
Ditanya mengenai perancangan selepas ini, Tang Jie berkata, mereka akan kembali ke tanah air, berbincang bersama jurulatih terlebih dahulu untuk mengetahui kejohanan yang harus disertai selepas ini.
Kekalahan semalam menyaksikan rekod Tang Jie-Ee Wei ketika berdepan juara dunia 2021 terus merosot kepada 1-5 dengan kemenangan tunggal dicatatkan ketika di suku akhir Terbuka Artik tahun lalu apabila mereka menang straight set 21-14, 21-17.