MISI memburu pingat emas acara sepak takraw Sukan SEA 2023 semakin hampiri kemuncak apabila Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi serta simpanan, Hafizul Hayazi Adnan meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir acara double, esok pagi.
Malam tadi, dalam aksi separuh akhir mereka menewaskan Filipina, 11-21, 21-17, 21-19 dalam separuh akhir di Dewan Bola Keranjang Stadium Olimpik Nasional, Phnom Penh.
Esok, menanti Indonesia yang merupakan juara bertahan edisi lalu, selepas menang ke atas Myanmar 21-10, 21-17 pada satu lagi separuh akhir.
Sementara itu, jurulatihnya, Ahmad Jais Baharun mengakui skuad negara hilang fokus pada set pertama sebelum berjaya memperkemaskan permainan pada dua set berikutnya.
Katanya lagi, mereka sudah menjangkakan bakal diberi tentangan sengit daripada pasukan Filipina yang merupakan antara empat pasukan terbaik dalam acara berkenaan pada edisi di Hanoi.
Sementara itu, skuad wanita negara akan berdepan dengan tuan rumah dan Thailand dalam saingan quadrant bagi merebut dua tempat teratas Kumpulan A.
Terdahulu, kem negara memenangi gangsa beregu berpasukan, pada Sabtu.
Sebutir pingat emas berkemungkinan hadir antara regu apabila Malaysia akan berentap dengan Thailand, Kemboja dan Singapura secara liga sepusingan dari pagi hingga malam.