PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui aura Ultras Malaya menjadi penyebab utama dia mahu menabur bakti bersama skuad kebangsaan apabila ditawarkan jawatan ketua jurulatih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Menerusi temubual eksklusif bersama Fifa.com, Pan-gon mengenang detik ketika dia mengendalikan pasukan kebangsaan Hong Kong di mana mereka bertemu Malaysia sebanyak dua kali dan mengingati atmosfera menakjubkan di Stadium Shah Alam ketika itu.
“Di Malaysia, ianya normal untuk mempunyai 80,000 penyokong hadir ke final pertandingan piala. Semangat terhadap permainan bola sepak di Malaysia sangat hebat hingga banyak penyokong tidak mendapat tiket.
“Apa yang paling menarik minat saya adalah kumpulan penyokong, Ultras Malaya. Ketika saya ke sana sebagai jurulatih Hong Kong untuk dua perlawanan, saya kagum dengan penyokong Malaysia. Menyaksikan Ultras Malaya sentiasa di belakang pasukan memberikan inspirasi untuk saya menjadi ketua jurulatih mereka.
“Ketika saya ditawarkan jawatan ini, perkara pertama yang saya fikirkan adalah saya mahu menjadi ketua jurulatih dan bukannya penyelia pasukan dan kedua kerana saya tidak sabar untuk merasai sokongan daripada mereka,” katanya.
Tidak boleh dinafikan bagaimana faktor Kim Pan-gon berjaya membawa kejayaan kepada Harimau Malaya dengan 70.4 peratusan kemenangan sejak dia dilantik pada Januari 2022.
Kejayaan layak ke Piala Asia AFC buat pertama kali sejak lebih 40 tahun, Pan-gon kini mempunyai tugas yang besar untuk membawa cabaran Malaysia dalam Kumpulan E bersama-sama Bahrain, Jordan dan tanah kelahirannya, Korea Selatan.
Dalam temubual yang sama, bekas naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) itu turut berkata misinya bukanlah untuk menewaskan gergasi Asia di ranking ke-23 dunia itu tetapi lebih untuk memberikan sesuatu yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia.
“Ianya bukan tentang menewaskan Korea Selatan di Piala Asia, ianya lebih kepada memberikan peluang buat Malaysia untuk bersaing dengan pasukan terbaik di benua ini.
“Peluang dapat beraksi bersama pemain-pemain terbaik dunia sudah mencukupi buat saya. Sukar buat kami untuk menewaskan pssukan yang berada di ranking teratas tetapi peluang bertemu mereka itu adalah motivasi terbaik buat para pemain.
“Bukan hanya Korea Selatan, Bahrain dan Jordan juga lebih kuat dari kami. Namun kami mahu membuktikan kemampuan dan meletakkan sasaran untuk menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dan layak ke pusingan 16 terbaik bagi menggembirakan penyokong Malaysia,” jelasnya.
Malaysia kini berada di ranking ke-130 dunia dan ini adalah ranking tertinggi yang pernah dicapai sejak 2006 namun Pan-gon tidak mahu berhenti di sini dan berharap dapat membawa Malaysia ke ranking 100 teratas dunia.
“Saya mahu membawa perubahan yang besar dalam pembangunan bola sepak di Malaysia dan mahu melihat ranking negara meningkat ke 100 teratas dalam ranking Fifa,” tambahnya.
Malaysia akan membuka cabaran Piala Asia bertemu Jordan pada 15 Januari sebelum bertemu Bahrain pada 20 Januari dan melengkapkan aksi Kumpulan E bertemu Korea Selatan pada 25 Januari 2024.