PENGALAMAN Ultras Malaya ketika menghadapi perkara di luar jangkaan ketika di tempat lawan mengajar mereka untuk mempunyai dana kecemasan yang secukupnya bagi membantu para penyokong yang mungkin memerlukan bantuan ketika di negara asing.

Atas sebab itu, Ultras Malaya dengan kerjasama Football Fanatics — gabungan jenama tempatan yang menjual produk berkaitan Harimau Malaya melancarkan cenderahati edisi terhad bernilai RM150 sebagai cara untuk mengumpul dana kecemasan itu.

Cenderahati khas Piala Asia 2023 itu mengandungi sehelai T-shirt dan mafla keluaran khas yang bakal menjadi kenang kenangan buat para penyokong sempena Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

“Ini adalah inisiatif daripada Football Fanatics iaitu sebuah jenama tempatan yang biasa berniaga ketika perlawanan Harimau Malaya di tempat sendiri. Kita nak wujudkan dana yang akan diletakkan dalam tabung kecemasan buat para penyokong yang memerlukan bantuan ketika di Doha Qatar.

“Kita tidak tahu apa yang mungkin terjadi di sana seperti kekurangan duit atau masalah kesihatan yang memerlukan bantuan kewangan, jadi para penyokong boleh gunakan dana kecemasan ini untuk menampung perbelanjaan mereka.

“Berdasarkan pengalaman kami terutama untuk jangka masa yang lama seperti di Qatar nanti, perkara luar jangkaan pasti berlaku dan dana ini diperlukan untuk membantu bukan sahaja komrad Ultras Malaya tetapi juga semua penyokong Malaysia yang memerlukan,” kata wakilnya Lekir Ahmad ketika ditemui Flash Sukan.

Ultras Malaya menjangkakan hampir 1,000 penyokong bakal bergabung tenaga memberikan jiwa buat Harimau Malaya dalam tiga aksi peringkat Kumpulan E bertemu Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) juga telah menyokong program Road to Doha yang menyediakan pakej buat para penyokong untuk sama-sama hadir ke Qatar untuk memberikan sokongan dan mencipta sejarah bersama Harimau Malaya.