HASRAT Ultras Malaya untuk membawa sekurang-kurangnya 1,000 ekor Harimau Sejati ke Piala Asia AFC 2023 di Doha, Qatar Januari depan semakin menjadi kenyataan apabila Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan sokongan kepada Program Road to Doha.

Objektif utama program ini dilancarkan adalah bagi menguruskan penyokong Harimau Malaya yang berminat untuk memberikan sokongan kepada skuad kebangsaan yang bakal berentap dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.

Wakil Ultras Malaya, Lekir Ahmad berkata pihaknya tidak akan mengambil pakej yang ditawarkan ini kerana Ultras Malaya sendiri sudah mengesahkan lebih 150 komrad bakal menggemuruhkan stadium di Qatar bagi memberikan sokongan kepada Harimau Malaya.

“Kami sememangnya sudah isytihar yang kami tidak akan ambil pakej ini tetapi tidak menolak sekiranya ada sesetengah individu atau penyokong yang mahu mengambil pakej ini kerana itu di luar kawalan kami.

“Tapi untuk Ultras Malaya, memang kami tidak ambil pakej ini sebab kebanyakan daripada mereka sudah pun membeli tiket penerbangan dan sudah mempunyai tempat penginapan, jadi kita tidak akan terlibat secara langsung dengan pakej ini.

“Di pihak kami, lebih kurang 150 komrad sudah bersedia ditambah 300 orang yang dijangka membeli pakej ini serta 500 orang rakyat Malaysia yang berada di negara-negara Teluk, jadi misi untuk mendapatkan 1,000 ekor Harimau Sejati di Qatar semakin menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di majlis Sidang Media Road to Doha di Kuala Lumpur.

Pakej yang ditawarkan buat para penyokong Harimau Malaya dijual bermula dari RM1,838.00 hingga ke RM13,500.00 bergantung pada pakej yang dipilih mengikut kesesuaian penyokong yang akan dijual bermula 21 Oktober 2023.

Malaysia bakal memulakan saingan Piala Asia bertemu Jordan pada 15 Januari 2024 sebelum berhadapan Bahrain pada 20 Januari 2024 dan mengakhiri peringkat kumpulan bertemu Korea Selatan pada 25 Januari 2024.