JAGUH 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman tidak turun beraksi pada Grand Final Trek dan Padang Varsity di Arena Universiti Malaya (UM), selepas dinasihatkan berehat bagi mengelakkan kecederaannya bertambah parah.
Menurut Umar, dia mengalami kecederaan pangkal paha sebelum Sukan Asia Hangzhou lagi, namun tetap meneruskan misi untuk berlari dalam kejohanan ini tanpa pengetahuan jurulatihnya.
“Kalau saya tambah suntikan Platelet Rich Plasma (PRP), mungkin enam ke lapan minggu (akan sembuh). Saya buat proses rawatan itu kadang kala sahaja, sebab saya tidak selalu dapat hadir ke ISN (Institut Sukan Negara), jadi saya hanya buat rawatan sendiri,” katanya.
Katanya, selepas separuh akhir, dia dinasihatkan untuk tidak meneruskan larian dan menjalani proses rawatan dan pemulihan yang dijangka berjalan lebih kurang lapan minggu.
“Jika saya teruskan larian, mungkin kecederaan itu akan makin teruk, mungkin koyak yang kecil berubah menjadi lebih besar, ataupun sebaliknya, saya pun tidak tahu.
“Kecewa itu semestinya ada, sebab saya dah datang ke sini. Sepatutnya saya memang tidak perlu berada di sini, saya anggap ini kesilapan sendiri. Saya dah tahu ada kecederaan tetapi tetap nak berlari.
“Saya tidak tahu bilakah dapat kembali beraksi di kejohanan seterusnya, sebab jurulatih memang nak saya fokus pemulihan agar dapat pulih sepenuhnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Umar menjelaskan dia masih belum mendapat tarikh spesifik bagi menjalani ujian kelayakan ke Universiti Auburn di Amerika Syarikat, namun segala penilaian hanya akan berjalan secara atas talian.
“Bagi ujian menulis itu, saya perlu buat karangan tapi tak berapa panjang dan juga ujian perbualan dengan AI (kecerdasan buatan). Untuk ujian itu saya tidak tahu bila saya akan ambil tapi apabila dah betul-betul yakin untuk jawab, baru saya akan buat,” katanya.