PEMILIK rekod kebangsaan olahraga 400 meter (m) lelaki, Umar Osman mahu menutup tahun ini kejayaan di Sukan Asia ke-19, di Hangzhou, China.
Pelari berasal dari Johor itu mahu meninggalkan tahun 2023 dengan kenangan manis.
Umar, 20, sudah bersedia mengibarkan cabaran selepas menjalani latihan intensif selama 53 hari bersama jurulatihnya Simon Lau di Singapura.
Selain itu dia yang menerima bantuan psikologi daripada Majlis Sukan Negara (MSN), dalam usaha mengembalikan kekuatan dan semangat, sebelum terbang ke di Hangzhou pada Selasa.
“Sebelum ke sini saya rasa sedikit ‘down’ kerana ada beberapa perkara yang menyebabkan saya tak fokus.
“Di Bukit Jalil, saya gunakan khidmat psikologi dari MSN untuk membantu saya bersemangat kembali.
“Kali ini saya sudah bersedia untuk menyahut cabaran dengan sasaran saya mara ke peringkat akhir acara 400m,” katanya.
Nama Umar mula meniti di bibir peminat olahraga apabila berjaya meraih emas di Sukan Sea Kemboja Mei lalu dan paling membanggakan dia berjaya memecahkan rekod berusia 22 tahun ketika temasya dwi tahunan itu.
Lariannya semakin pantas apabila memecahkan rekod sebanyak dua kali di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China bulan lalu dengan rekod baru kebangsaan kini adalah 46.09 saat (s).
Katanya, sepanjang hampir tiga bulan berada di Singapura dia dapat menggunakan beberapa kemudahan termasuklah kemudahan biomekanik bagi ketahanan otot.
Umar akan membuka langkah pada pusingan saringan di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, Jumaat ini.