PEMILIK rekod kebangsaan acara 400 meter (m) lelaki, Umar Osman akan menguruskan segera urusan ke University Auburn, di Amerika Syarikat (AS) sebaik selesai menduduki ujian bahasa Inggeris untuk pelajar asing, Test of English as a Foreign Language (TOEFL).

Pelari berusia 20 tahun itu berkata, dia mungkin akan menduduki ujian itu selepas meraikan Aidilfitri, iaitu selepas benar-benar yakin mampu menjawab dengan baik.

“Saya akan menduduki ujian TOEFL dalam masa terdekat, tapi saya perlu praktis dahulu supaya lebih yakin menjawabnya.

“Mungkin saya akan ambil ujian itu seminggu selepas hari raya,” kata Umar, yang mengesahkan dia akan ke Universiti Auburn lebih awal dari jangkaan bulan Ogos.

Umar Osman mencipta sensasi di Sukan Sea Kemboja tahun lalu.

Ini berikutan Umar akan mula memasuki pengajiannya di sana lebih awal dari jangkaan, namun dia tidak berkongsi tarikh sebenar kemasukan pengajiannya.

“Kalau tak silap saya, kelulusan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) sudah lulus dua hari selepas tarikh kemasukan Januari lalu.

“Cuma, saya perlu lulus TOEFL, saya mahu benar-benar yakin sebelum duduki TOEFL ini kerana yurannya agak mahal.

“Saya boleh duduki ujian beberapa kali tetapi perlu membayar yuran yang mahal kerana menggunakan mata wang dolar AS,” ujarnya.

Berdasarkan semakan di internet, ujian TOEFL di Malaysia dikenakan bayaran AS$195 (RM926) setiap kali ujian diambil.

Umar masih dahagakan catatan baharu kebangsaan acara 400m.

“Saya perlu pergi awal ke Universiti Auburn untuk mulakan pengajian, selepas itu kembali ke Malaysia untuk mewakili Johor di Sukan Malaysia (Sukma).

“Setakat ini belum ada perancangan kejohanan antarabangsa yang akan saya sertai kerana masalah kecederaan pangkal peha belum pulih sepenuhnya.

“Selain itu, di AS juga hanya akan ada kejohanan terbuka pada Januari nanti, pada waktu itu saya mungkin akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang sama Azeem (Muhammad Azeem Fahmi) sertai,” katanya.

Januari lalu, Umar berkongsi berita dirinya terpaksa menangguhkan latihan dan pembelajaran di Universiti Auburn, berikutan kelewatan permohonannya diluluskan NCAA.

Untuk rekod, Umar kini memegang rekod kebangsaan dengan catatan 46.09 saat (s) di Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China Ogos tahun lalu.

Dia mengatasi rekod lama miliknya 46.33s yang di lakukan di Sukan Sea Kemboja.