SANGGUP merisikokan diri dengan kecederaan semata-mata mahukan pingat emas, membuahkan hasil lumayan buat Umar Osman, apabila bukan hanya menggondol emas malah memecah rekod kebangsaan acara 400 meter (m) lelaki dengan catatan 46.34 saat (s).

Keazaman atlet muda berusia 20 tahun yang kali pertama dipilih mewakili negara di Temasya Sukan SEA itu, cukup membanggakan kerana berjaya mengetepikan rasa gerun, gemuruh dan kekurangan pengalaman.

“Saya all out, memang belasah saja… tak fikir apa. Kalau hamstring.. hamstringlaa janji emas,” cerita Umar mengenai larian emasnya, menewaskan dua atlet Filipina, Umajesty William (46.52s) dan Frederick Ramirez untuk pingat perak dan gangsa.

Umar tidak meletak sebarang harapan pada penampilan pertama di Temasya Sukan Sea.

Sebaik melintas garisan penamat, Umar kelihatan menangis sekuat-kuatnya, “apabila saya melihat papan masa, nampak 46.34s, dalam kepala saya siapa yang berlari ni, sebab itu saya menangis macam apa entah.”

Catatan dilakukan Umar itu, mengatasi rekod lama milik Mohd Zaiful Zainal Abidin, 46.41s yang dilakuakn di Kejohanan Remaja Asia di Brunei pada 20 Julai 2001.

Umar yang membantu kuartet 4x400m lelaki negara memenangi pingat emas Terbuka Singapura baru-baru ini berkata, jurulatih tidak membenarkannya beraksi dalam acara individu di kejohanan itu, kerana meletakkan sasaran untuk memuncak di Sukan SEA Kemboja.

Pada usia muda dan kali pertama beraksi di pentas Sukan Sea, Umar tidak diletakkan harapan tinggi, namun selepas tamat pusingan separuh akhir, dia muncul pelari dengan catatan terpantas.

Kesungguhan membawa kejayaan.. Umar Osman, 20 mengharumkan nama negara dengan meraih pingat emas 400m lelaki, dan memecahkan rekod kebangsaan.

Katanya, jurulatih Simon Lau Chin Meng insan paling banyak membantunya, menguruskan urusan pembelajaran dan mendorongnya untuk terus kekal sebagai atlet.

“Saya juga berterima kasih kepada Coach Zaki (ketua jurulatih Mohd Zaki Sadri) kerana memberi peluang kepada atlet muda beraksi, berani ambil risiko dan inilah hasilnya,” kata Umar.