PEMAIN muda skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan, Umar Hakeem Suhar Rezwan yang menyatakan pendapatnya bahawa setiap pemain yang dipanggil ke kem pusat latihan mempunyai kekuatan masing-masing.
Skuad B-23 tahun kendalian Juan Torres Garrido dalam persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23, Qatar April depan.
Menurut pemain berusia 21 tahun itu juga, sesi latihan untuk ke Piala Asia ini dianggap sengit apabila kesemua pemain ingin menonjolkan bakat yang sedia ada bagi menempatkan diri mereka dalam skuad utama b-23.
“Saya boleh melihat semangat yang tinggi ditunjukkan dalam diri setiap pemain dan saya juga sudah agak kenal ‘familiar’ dengan muka masing-masing kerana tiada wajah baharu yang dipanggil ke dalam kem pusat kali ini,” ujarnya ketika sesi latihan.
Sementara itu, seorang lagi pemain muda, Ubaidullah Shamsul Fazli yang merupakan permata baharu Terengganu FC turut meluahkan kegembiraannya apabila menerima panggilan daripada ketua jurulatih, Juan Torres untuk ke kem pusat latihan.
Ubaidullah mengakui apa yang dilaluinya pada sesi latihan sekarang agak sinonim dengan apa yang diajar dalam kelabnya sendiri.
“Saya rasa tiada masalah untuk adaptasi taktikal yang diajar oleh Juan kerana tidak banyak perubahan yang dilakukan. Jika pihak jurulatih lakukan banyak perubahan pun ianya susah untuk kami kerana masa yang agak singkat.
“Walau apapun, saya percaya jika jurulatih dan pemain sama-sama berganding bahu dan berikan yang terbaik, maka hasilnya juga akan jadi yang terbaik kelak InsyaAllah,” katanya.