JUARA dunia bina badan enam kali, Datuk Mohd  Syarul Azman Mahen Abdullah, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBF) sebaik mengumumkan persaraannya.

Pelantikan itu diumumkan Presiden MBF sendiri, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman pada majlis sidang media Pengumuman Persaraan Syarul Azman Mahen atau lebih dikenali sebagai Mike Mahen, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Jumaat.

Surat pelantikan Datuk Mohd  Syarul Azman Mahen Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan MBF.

“Tidak mudah untnuk kita kerana sebagai atlet sendiri, saban hari kita semakin berusia dan Mike memutuskan untuk bersara daripada bergiat aktif dalam sukan ini bermula tahun ini.

“Kita pernah bertanya sebelum ini, dan dia memberitahu bahawa otot-ototnya tidak lagi sama seperti dahulu,” kata Ahmad Badrus, pada sidang media di ibu negara.

Presiden MBF, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Ahmad Badrus Othman mahu Datuk Mohd  Syarul Azman Mahen Abdullah melalui proses sebelum menjadi jurulatih.

Katanya, pengalaman Mike Mahen cukup bernilai dan pihaknya akan menggunakan Mike Mahen sebagi ikon.

Tambah beliau, berbekalkan pengalaman yang banyak, ia boleh dicurahkan kepada atlet lain.

“Dia boleh berkongsi pengalaman bersama atlet-atlet baharu, jadi kita boleh latih lebih ramai lagi.

“Baru-baru ini kita kehilangan seorang pemimpin dalam latihan iaitu Abdul Aziz Ahmad yang meninggalkan posisinya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan MBF, jadi kita mengumumkan pelantikan Mike mengisi kekosongan jawatan tersebut untuk satu penggal 2024 hingga 2025,” kata Ahmad Badrus.

Barisan kepimpinan MBF bergambar kenangan dengan Datuk Mohd  Syarul Azman Mahen Abdullah.

Beliau mahu juara Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik itu berkecimpung dalam dunia pantadbiran terlebih dahulu sebelum melanjurkannya ke dalam dunia kejurulatihan.

“Untuk menjadi jurulatih tidak mudah, saya mahu dia belajar selok-belok dunia pentadbiran terlebih dagulu.

“Bagi dia tempoh setahun atau dua sebelum menjadi jurulatih,” ujarnya.