UMUR hanyalah sekadar angka yang tidak menghalang untuk melakukan aktiviti sihat.
Ia dibuktikan apabila salah seorang peserta Ironman Malaysia Langkawi 2024 yang berusia 61 tahun berjaya menamatkan semua rutin wajib sekaligus bergelar ‘Ironman’.
Kelibat peserta yang dikenali Tajudin Mustaffa pada Ironman Malaysia Langkawi baru- baru ini yang dikongsi oleh anaknya di laman Instagram menarik perhatian ramai yang sekaligus menjadi motivasi kepada orang lain.
Anaknya, Hakiem Tajudin berkongsi detik-detik penuh inspirasi perjalanan bapanya dalam kejohanan tersebut melalui satu hantaran video yang menyentuh hati ramai.
Dalam caption hantaran tersebut, Hakiem menulis, “If there’s one thing that I learnt from you is to never give up on achieving your dreams. Age is indeed just a number.”
Tajudin memulakan cabaran dengan renang sejauh 3.9 kilometer (KM), berjaya menyempurnakan pusingan pertama dengan baik.
Dia kemudian terus melangkah ke cabaran seterusnya, iaitu 180KM berbasikal dengan semangat yang terus ditonjolkan.
Cabaran larian 42KM yang terakhir dijalani walaupun hari telah bertukar malam, namun dengan semangat yang membara, Tajudin tidak sesekali menyerah kalah.
Sekitar 3KM terakhir, Hakiem membuat keputusan untuk berlari bersama bapanya, untuk terus menjadi penyuntik semangat dan kebanggaannya.
“I decided to run with him for the last 3 km before finishing line,” tulis Hakiem, menggambarkan betapa bermaknanya detik tersebut.
Di 150 meter terakhir, Tajudin menunjukkan semangat yang luar biasa dengan sorakan dan sokongan yang tidak putus-putus, dan berjaya menamatkan Ironman Malaysia Langkawi 2024 dengan masa 15 jam 54 minit dan 23 saat.
“He finally an Ironman with 15:54:23 of finishing time!” tulis Hakiem dengan bangga.

Tajudin berjaya menghabiskan Kejohanan Ironman 2024 dengan cacatan masa 15:54:23. FOTO | IG HAKIEMTAJUDIN
Kejayaan Tajudin ini menarik perhatian ramai, termasuk pemenang Ironman Malaysia Langkawi 2021, Alif Satar, yang memberikan penghormatan dengan komen menggunakan emoji tanda hormat.
Bekas Menteri Belia dan Sukan dan juga peserta Ironman Malaysia Langkawi 2024, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga memberi komen; “Completing a full Ironman at 61 years is a herculean task. Exceptionally inspiring.”
Hantaran video Hakiem ini juga mendapat perhatian rasmi Ironman Malaysia Langkawi, yang memuji Tajudin sebagai “ncredible.
Dengan hampir tiga ribu reaksi yang memuji semangat juangnya, kisah ini menjadi simbol kepada semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

FOTO | IG HAKIEMTAJUDIN
Tajudin kini bergelar Ironman, telah membuktikan bahawa dengan keazaman dan usaha, tiada apa yang mustahil.
Kejayaannya ini pastinya menjadi inspirasi kepada semua yang menyaksikan bahawa impian boleh dicapai walau setinggi mana pun cabarannya.