SELEPAS memecat Steven Gerrard, Aston Villa mengumumkan Unai Emery sebagai pengurus baharu berkuatkuasa 1 November 2022 menurut laman web rasmi kelab.
Emery menyertai Villa dari Villarreal, kelab yang menewaskan Manchester United di final Piala Europa 2021 dan juga semi finalis Liga Juara-Juara UEFA musim lalu.
Seorang jurulatih yang berpengalaman di peringkat tertinggi Eropah, Emery telah menguruskan lebih 900 perlawanan sepanjang kariernya dan pernah mengurus Arsenal sehingga ke final Piala Europa.
Aston Villa is delighted to announce the appointment of Unai Emery as the club's new Head Coach. 🟣
— Aston Villa (@AVFCOfficial) October 24, 2022
Selain itu, Emery juga berjaya sebagai jurulatih di Sevilla apabila dia memenangi Piala Europa tiga berturut-turut antara 2013 hingga 2016 sebelum menyertai Paris Saint Germain.
Ketika di Paris Saint-Germain pula dia berjaya membawa kelab itu menjuarai Ligue 1, dua Piala Perancis, dua Piala Liga Perancis dan dua Trophée des Champions.
Pengurus berusia 51 tahun itu sememangnya terkenal dengan kepakaran muncul juara Piala Europa dan Aston Villa pula sedang mencari pengurus atasan yang mampu membawa mereka ke pentas Eropah.