SKUAD sepak takraw negara perlu menggandakan persiapan sebelum memasang angan-angan besar merangkul pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, undian rasmi yang dikeluarkan hari ini tidak boleh dipandang enteng biarpun ada yang berasakan Malaysia mendapat undian yang baik apabila tidak berada dalam kumpulan yang sama dengan Thailand.

Katanya, pada saingan Piala Raja Thai lalu, prestasi skuad sepak takraw negara tidak meyakinkan.

Semua pemain sepak takraw akan menyertai program latihan fasa akhir sebelum ke Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Kita jangan ambil mudah dengan kedudukan kumpulan yang diundi bersama Vietnam dan Singapura, begitu juga dengan berpasukan, kerana kita mungkin akan jadi empat pasukan terbaik mara ke separuh akhir.

“Bagaimanapun, kita kena bersedia dari sekarang, berdasarkan prestasi kita di Piala Raja Thai yang lalu, kita tidak dapat mengawal keadaan sehingga tewas di saat-saat akhir kepada Thailand.

“Matlamat kita adalah untuk mencapai emas dalam acara yang kita akan bersaing di Sukan Asia nanti,” kata.

Skuad negara diundi dalam kumpulan A bersama Singapura dan Vietnam, manakala Thailand, Filipina, India dan Myanmar dalam kumpulan B dalam acara regu lelaki.

Persaingan berpasukan regu lelaki pula menyaksikan Thailand diundi dalam kumpulan A bersama Jepun dan Laos, manakala Malaysia dalam kumpulan B bersama Indonesia dan Korea Selatan.

Pada Piala Raja Thai lalu, skuad sepak takraw negara sekadar berpuas hati dengan menduduki tempat kedua dalam acara regu dan berpasukan regu lelaki.

Undian itu dilakukan di Hotel Grand Parkray di Hangzhou, China.

Sebanyak empat jenis sukan terlibat pada majlis undian terbabit iaitu bola baling, sepak takraw, bola tampar dan bola sepak.