BUAT julung kali Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menganjurkan Kejohanan Memanah Terbuka IPT 2022 bermula pada 25 Mei sehingga 29 Mei 2022.

Kampus Gong Badak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu terpilih untuk menjadi tuan rumah bagi edisi pertama penganjuran yang berjaya menghimpunkan 39 pasukan dengan jumlah keseluruhan 347 pemanah dari pelbagai IPT seluruh negara.

“Kejohanan ini merupakan penganjuran kali pertama di mana Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) selaku pemegang taruh utama memberi tanggungjawab kepada UniSZA untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran ini.

“UniSZA merupakan Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Memanah yang juga dikawal selia oleh KPT sejak 2012 sehingga kini di mana di sini mempunyai fasiliti sukan memanah untuk menganjurkan kejohanan yang besar termasuk barisan pegawai-pegawai teknikal dan sebagainya merupakan sebahagian besar berkhidmat di UniSZA ini.

“Objektif utama penganjuran kejohanan memanah ini adalah sebagai platform persediaan pemilihan atlet IPT untuk mewakili ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di peringkat kebangsaan atau di peringkat IPT itu sendiri.

“Sebagai contoh di peringkat kebangsaan, KPT kini dalam persediaan untuk menghantar pasukan ke pentas Sukan Universiti ASEAN(AUG) di Thailand nanti manakala bagi peringkat IPT sudah tentu persediaan ke pentas Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT 2022) yang akan berlansung pada Ogos ini,” ujar Pengarah Kejohanan Memanah IPT Terbuka 2022 Suhardi Abdullah @ Mohd Zain yang ditemui FLASH SUKAN.

Beliau juga turut menjelaskan bahawa jumlah penyertaan seramai 347 pemanah yang terdiri dari kalangan pelajar-pelajar IPT juga merupakan satu penanda aras yang terbaik buat penganjur yang julung kali diadakan secara tidak langsung mengambarkan satu petunjuk bagus bagi program pembangunan sukan memanah di peringkat akar umbi sejak dari usia di bangku sekolah.

Menambah menarik, pasukan persediaan ke pentas Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Ubon Ratchathani, Thailand pada Julai nanti turut hadir memberi cabaran sekaligus memberi penanda aras terbaik prestij penganjuran kejohanan ini.

Penganjuran ini juga turut menjadi platform terbaik buat pasukan-pasukan pemanah yang mewakili negeri masing-masing khususnya pasukan yang kini dalam persediaan ke pentas Sukan Malaysia(SUKMA 2022) pada September ini.

Penganjuran yang turut menawarkan ganjaran wang tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7,800.00 menjadi taruhan dengan 4 kategori yang dipertandingkan iaitu Lelaki Compound, Wanita Compound, Lelaki Recurve dan Wanita Recurve.