ERA baharu Manchester United di bawah kendalian Erik Ten Hag bermula selepas berjaya membenam musuh tradisi Liverpool 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Isnin.

Selepas melalui pengalaman memalukan dibelasah Brentford, Ten Hag mengambil keputusan untuk merehatkan Cristiano Ronaldo dan Harry Maguire dan para pemain memberikan satu persembahan yang bertenaga.

Dua jaringan daripada Jadon Sancho dan Marcus Rashford sudah cukup untuk memberikan tiga mata pertama buat United meskipun dibayangi protes penyokong terhadap pemilik kelab sebelum perlawanan.

Gol tunggal Liverpool dijaringkan Mohammad Salah pada penghujung babak kedua yang menyaksikan Liverpool masih mencari-cari kemenangan pertama musim ini selepas tiga perlawanan.

Kemenangan pertama selepas kalah dalam dua aksi pembukaan mengeluarkan United dari dasar liga untuk naik ke tangga ke-14 dengan tiga mata manakala Liverpool jatuh ke tangga ke-16, tujuh mata di belakang pendahulu Arsenal.

Seterusnya, Liverpool akan menyasarkan untuk mengutip kemenangan pertama dalam kempen liga musim ini apabila melayan kunjungan Bournemouth pada Sabtu manakala United bertandang ke Southampton.