PENGAKHIRAN yang tidak diimpikan apabila jaguh olahraga negara, Umar Osman terlepas podium pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023, di Chengdu, China.
Umar yang akan genap usia 20 tahun pada 11 Ogos ini, menamatkan perlumbaan final 400 meter (m) di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta akhir dalam aksi berlangsung di Stadium Shuangliu.
Bagaimanapun, pujian tinggi harus diberikan kepada atlet dari Johor Bahru itu walaupun melintasi garisan penamat dengan catatan masa 46.41 saat (s).
Setidak-tidaknya, Umar masih konsisten dengan catatan masanya selepas mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan dua kali berturut-turut di pusingan pertama kelayakan, 46.33s dan separuh akhir, 46.09s sebelum ini.
“Saya tidak menjangkakan terpaksa berlari di lorong paling dalam, saya lebih gemar berada di lorong paling luar iaitu kelapan.
“Saya terpaksa terima hakikat tapi saya minta maaf kerana tidak dapat menyumbang pingat, ini adalah pengalaman paling berharga untuk saya,” kata Umar.
Secara keseluruhan, Umar memecahkan rekod kebangsaan kali ketiga tahun ini.
Kali pertama Umar memecahkan rekod kebangsaan milik Mohd Zaiful Zainal Abidin di temasya Sukan Sea Kemboja, apabila mencatat masa 46.34s memadam rekod lama 46.41s.
Dalam pada itu, pingat emas 400m Universiade Chengdu dimenangi atlet Portugal, Joao Ricardo Agostinho Coelho dengan rekod baharu kejohanan iaitu 44.79s.
Atlet Australia, Reece Nathaniel Holder terpaksa akur meraih pingat perak menerusi penentuan photo-finish, manakala gangsa menjadi milik pelari Romania, Mihai-sorin Dringo dengan masa 46.27s.