UMAR Osman yang mencatat sensasi di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu, terus maju ke hadapan apabila sekali lagi mencatat rekod baharu kebangsaan acara 400 meter (m) lelaki di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 yang berlangsung di Chengdu, China.

Pelari berusia 20 tahun berasal dari Johor itu, mencatat masa 46.33 saat (s), 0.01s lebih pantas daripada catatannya ketika memenangi pingat emas di Phnom Penh.

Umar Osman menduduki tempat kedua saingan pertama, acara 400m Universiade 2023. Pix FB KPM

Kejayaan merakam rekod baharu kebangsaan itu membolehkannya menamatkan pusingan saringan pertama di kedudukan kedua di belakang pelari Australia, Holder Reece Nathaniel yang mencatat masa 46.10s.

“Saya sangat bersyukur dan gembila selepas berlari terutamanyba selepas melihat rekod kebangsaan dipecahkan.

Umar Osman sudah dua kali pecahkan rekod kebangsaan acara 400m lelaki, di Sukan Sea Kemboja dan Universiade 2023. Pix FB KPM

“Sasaran saya di separuh akhir esok, saya akan mengekalkan catatan masa itu dan cuba meningkatkan lagi kepantasan untuk sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan sekali gus melayakkan diri ke final,” kata Umar, selepas menamatkan perlumbaan.

Umar dan Shereen Samson Vallabouy, muncul dua atlet trek yang yang menyumbang pingat emas dalam acara olahraga di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu.

Tiga lagi pingat emas di temasya itu disumbangkan atlet dari acara padang.