SENARAI pemain yang bakal diberi fokus untuk memungut mata kelayakan Sukan Olimpik 2024, mungkin terpaksa dilakukan perubahan apabila beregu wanita Anna Cheong yang bergandingan dengan Teoh Mei Xing kini berdepan masalah kecederaan.

Anna dan Mei Xing yang diletakkan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky untuk memungut mata kelayakan Olimpik Paris, mengalami kecederaan ACL lutut kanan.

Menurut Anna, lutut kanannya itu dikesan mengalami kecederaan ACL selepas insiden dia terpijak kaki individu lain, sebelum melakukan pemeriksaan lanjut kira-kira dua minggu lalu.

“Urat dikesan putus selepas ujian imbasan MRI dan ia bukan disebabkan insiden saya memijak kaki orang lain. Kejadian itu hanya menjadi punca kepada saya melakukan pemeriksaan lanjut selepas bahagian tepi betis kanan saya berasa sakit.

“Hasil ujian imbasan MRI itu, urat sendi lutut kanannya didapati putus. Menurut doktor, ia dipercayai berlaku sudah agak lama, mungkin juga sudah lebih setahun, namun saya tidak pernah alami tanda-tanda masalah ACL,” kata Anna.

Menurutnya, selepas perbincangan bersama barisan kejurulatihan dan fisioterapi, dia tidak akan menjalani pembedahan.

“Memandangkan saya tidak mengalami sakit dan simptom ACL sebelum ini, saya akan melalui proses rehabilitasi dan membentuk otot bagi memegang sendiri lutut. ACL ni nak pulih sepenuhnya memang sukar, tapi saya perlu percayakan diri, kerana jurulatih dan fisioterapi juga percaya saya mampu lakukannya.

“Bimbang tu saya sangat bimbang tapi saya perlu ketepikan dahulu. Memang ada perancangan untuk jalani pembedahan, tapi bukan masa terdekat,” katanya, yang turut menjalani Latihan meskipun kakinya memakai pendakap penyokong lutut.

Sementara itu, Rexy berkata, dia memantau rapat perkembangan Anna itu.

“Saya mahu tengok sampai dua bulan ke depan dan tengok tahap pemulihan dia (Anna) bagaimana. Kalau tak dapat push lebih lagi. Kita harus fikirkan apa yang kena kita buat,” kata Rexy, ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Anna dan Mei Xing kini berada di ranking ke 30 dunia, berada dalam perancangan Rexy untuk mengiringi Pearly Tan-M Tinaah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Gandingan terbabit disifatkan mempunyai potensi besar terutamanya selepas mengejutkan gandingan dalam kelompok 10 terbaik dunia dari Korea Selatan, Lee So Hee-Shin Seung Chan pada Terbuka Malaysia tahun ini, selain gandingan Jepun di ranking keenam dunia, MAyu Matsumoto-Wakana Nagahara, pada Malaysia Masters tahun ini.

Mata kelayakan Olimpik Paris bermula 1 Mei 2023 dan berakhir 30 April 2024.