PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan memisahkan unit Prestasi Tinggi (High Performance) daripada badan induk badminton itu berkuat kuasa serta merta.
Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis BAM di pejabatnya, di Bukit Kiara, sebentar tadi.
Ini bermakna, Prestasi Tinggi diletakkan di bawah Yayasan Badminton Nasional atau Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Presiden BAM Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pengasingan itu dibuat bagi memastikan badan induk badminton itu lebih telus dan bermatlamat.
“Tidak lagi di bawah C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). BAM hanya fokus kepada pentadbiran seperti mana FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL (Malaysia Football League) dan ia berkuatkuasa serta merta,” kata Norza.
Pemisahan Prestasi Tinggi daripada BAM itu dibuat bagi mencapai objektif menjadikan unit itu lebih mampan secara komersial dalam melahirkan pemain bertaraf dunia.
Justeru BAM hanya fokus kepada pentadbiran, pembangunan (negeri), pendidikan jurulatih dan pegawai teknikal, pendaftaran kejohanan serta penganjuran acara.
Katanya, unit Prestasi Tinggi akan tertakluk di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM iaitu Michelle Chai dan diketuai Pengarah Prestasi Tinggi, Dr Tim Jones; manakala struktur di bawahnya adalah Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Wong Chon Hann dan Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky.
Justeru, ABM juga akan memainkan peranan komersil seperti mencari dana untuk menyokong keperluan Pusat Prestasi Tinggi.
“Prestasi Tinggi pula menjaga hal dalam menghasilkan juara dunia, pemenang pingat emas Sukan Olimpik, kejuaraan Piala Thomas dan lain-lain berkaitan menghasilkan pemain,” kata Norza lagi.