PENGENDALI Oman, Jaroslav Silhavy mengakui usaha sebagai satu pasukan menjadi faktor kemenangan mereka meskipun terpaksa menempuh perlawanan yang sukar ketika menentang Malaysia dalam aksi keempat Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Silhavy yang baru mengendalikan perlawanan keduanya dengan skuad Oman turut memberikan pujian kepada semua pemain terutama penjaga golnya, Ibrahim Al Mukhaini yang cemerlang mempertahankan kubu mereka dari dibolosi penyerang Malaysia.

“Sudah tentu perlawanan ini lebih sukar berbanding di Oman kerana Malaysia bermain di tempat sendiri dan mereka mahu meraih kemenangan tetapi kami berjaya mengawal perlawanan.

Silhavy ketika sesi sidang media selepas perlawanan.

“Saya gembira dengan semua pemain dan terutama Ibrahim yang beraksi cemerlang serta terima kasih kepada penyokong kami yang hadir menjadikan kemenangan ini sebagai usaha bersama.

“Kami baru bersama-sama dalam tempoh yang singkat dan cuba menggunakan kombinasi yang sesuai. Bola sepak adalah permainan berpasukan dan mereka berjaya bermain sebagai satu pasukan untuk meraih kemenangan ini,” jelasnya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dua gol pada minit akhir setiap babak oleh Omer Al Malki dan Mubarak Al Ghafri cukup untuk memberikan Oman tiga mata penuh sekali gus mencerahkan peluang mereka layak ke peringkat seterusnya.

Omer Al Malki meraikan jaringannya

Silhavy juga menganggap keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak mendatangkan kesukaran buat skuadnya kerana Malaysia juga turut berdepan keadaan padang yang sama.

“Keadaan padang memberikan kesan kepada kedua-dua pasukan dan ini buatkan kami tidak merasai kesukaran beraksi di atasnya tetapi kemenangan ini adalah bukti usaha bersama setiap pemain yang beraksi sebagai satu pasukan,” tambahnya.

Walaupun mencatat kemenangan, Oman terpaksa akur turun ke tangga kedua selepas dipintas Republik Krygyz yang dipisahkan dengan perbezaan jaringan meskipun berkongsi sembilan mata selepas selesai empat perlawanan.