PEMENANG Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, penyerang Kuching City FC, Abu Kamara sememangnya layak untuk menerima anugerah itu kerana kesungguhan yang ditunjukkan olehnya sepanjang musim.
Perkara ini diakui sendiri oleh penolong jurulatih Kuching City, Sulaiman Hussin yang memuji karektor yang ada pada diri penyerang berasal dari Liberia ini.
Sulaiman juga secara keseluruhan berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan olehnya dan berharap dapat meneruskan rentak cemerlang pada musim 2023 apabila beraksi di Liga Super.
“Tahniah kepada Abu Kamara kerana memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier di ABK2022. Dia sememangnya layak kerana sepanjang semusim bersama KCFC dia mempunyai satu kelebihan iaitu kesungguhan dan keinginan untuk menang yang sangat tinggi.
“Dia juga adalah pemain berpasukan dan banyak menerima umpanan baik dari rakan sepasukan terutama Aliff Hassan yang banyak membantu. Secara keseluruhan sumbangan dia sangat baik hingga membantu kami mendapat tempat ketiga dalam Liga Premier menerusi gol-gol kemenangan yang dijaringkan olehnya.
“Saya berharap pada musim 2023 nanti dia dapat meneruskan rentak cemerlang dan dapat membantu pasukan dengan jaringkan lebih banyak gol di pentas lebih tinggi iaitu Liga Super,” kata Sulaiman ketika dihubungi FLASH SUKAN.
ARTIKEL BERKAITAN: JDT dominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2022
Abu Kamara berjaya menjaringkan 11 gol dan kini sedang membina nama untuk diletakkan sebaris dengan bintang Liberia lain yang pernah mewarnai Liga Malaysia seperti Francis Forkey Doe, Patrick Ronaldinho Wleh dan Zah Rahan Krangar.