SEPAKAN penalti yang mendatangkan tuah buat pasukan Armed Forces FC apabila berjaya menewaskan Melaka FC pada aksi Liga M3 yang diadakan di Stadium Mindef pada Sabtu.
Meletakkan diri sebagai pemain yang bertuah dalam perlawanan tersebut, Venice Elphi yang juga merupakan kapten pasukan The Gladiators itu, memberikan kejutan pada pihak lawan dengan jaringan di minit akhir permainan.
“Saya rasa antara pemain yang bertuah pada petang ini kerana dapat penalti last minute. Penjaga gol dapat selamatkan bola kemudian bola pantul kepada saya dan berhasil mendapatkan gol.
“Saya rasa sungguh gembira sebab kami sangat berkerja keras untuk mendapatkan gol pada awal musim dan ini adalah kemenangan kami yang ketiga,” kata Venice kepada FLASH SUKAN.
Dalam masa yang sama, kemenangan di laman juga secara tidak langsung memberikan semangat kepada semua pemain The Gladiators dalam memastikan kedudukan tidak tercorot liga.
Venice juga mengharapkan pasukannya akan kekal momentum untuk sentiasa mencari kemenangan dalam setiap perlawanan akan datang sekaligus memperbaiki kedudukan dalam liga.
Pada usia 39 tahun, Venice mengakui akan terus bermain dalam sukan bola sepak dan masih tidak terfikir untuk berhenti atau menggantung boot buat masa ini.
“Tiada istilah untuk berhenti. Saya belum ada terfikir untuk menggantung but. Sekarang saya seronok dan masih mampu lagi untuk bermain,” tambahnya.
Sebagai rekod, Venice yang berasal dari Kuching Sarawak juga merupakan pemain yang paling lama berkhidmat untuk pasukannya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) FA dan bermain di posisi sayap.
Venice juga menjadi anak buah bekas jurulatih pasukan kebangsaan Datuk K.Rajagobal setelah dipanggil bersama skuad negara pada tahun 2012.