UJIAN penggunaan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam perlawanan persahabatan antara PDRM FC dan KL City FC berjaya dilaksanakan pada Sabtu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu pastinya menjadi pertarungan yang sengit antara kedua-dua pasukan. Keputusan seri 2-2 menunjukkan mereka bermain dengan gigih dan tidak mengalah sehingga minit terakhir perlawanan.
Pada awal 20 minit permainan, masing-masing mempamerkan tekanan untuk cuba membuka tirai jaringan dan tidak dinafikan, beberapa asakan di depan gawang gol dilancarkan namun semuanya gagal menembusi penjaga gol.
Tidak lama kemudian, Ifedayo Olesugun akhirnya memecah kebuntuan gol buat PDRM FC setelah berjaya membuka akaun jaringan di gelanggang sendiri pada minit ke-24 permainan, memperdaya penjaga gol The City Boys, Azri Ghani.
Gol tersebut menguji kekuatan mental KL City FC untuk mengejar kembali satu jaringan yang dicipta oleh PDRM FC dan kegigihan itu semakin terserlah dalam diri pemain.
Bersambung separuh masa kedua, PDRM FC mengamalkan corak lebih tersusun. Penyokong disajikan penggunaan VAR apabila ia digunakan mengesahkan satu lagi jaringan dihadiahkan buat PDRM FC pada minit ke-50.
Sekali lagi pemain import sensasi, Ifedayo menyudahan misi pada minit ke-50 perlawanan.
Tidak lama kemudian, Sean Giannelli menjaringkan gol pertama buat KL City untuk merapatkan kedudukan dengan PDRM FC, namun semakan VAR telah membatalkan jaringan yang dihasilkan kerana ofside.
Pada penghujung perlawanan, PDRM kelihatan selesa dan lega dengan dua jaringan yang diperoleh manakala KL City pula bermain dalam keadaan sedikit tertekan.
Akhirnya, gol pembukaan KL City terhasil pada masa tambahan perlawanan menerusi jaringan penalti Paulo Josue.
Lebih menggembirakan penonton KL City, selang beberapa minit masa tambahan itu, Patrick Reichelt pula menjadi wira kedua yang berjaya merobek pintu gol PDRM FC untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri.