“LEBIH banyak positif dari negatif!”
Demikian komen daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam, mengenai penerimaan kelab-kelab Liga Malaysia terhadap penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) musim ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah membuat pembentangan di hampir kesemua kelab, mengenai pelaksanaan penggunaan VAR musim ini.
“Penerimaan VAR dari kelab-kelab… lebih banyak positif dari negatif dan berdasarkan pembentangan dihampir semua kelab setakat ini, diterima baik.
“Penyediaan teknologi baharu pula memerlukan masa yang lebih lama untuk diadaptasikan,” kata Stuart, ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan ‘Play True Day’ dan sesi ramah mesra menteri bersama warga kementerian dan pemegang taruh utama KBS di Axiata Arena, pada Isnin.
Menurutnya, selain operasi, produksi, penyiaran dan penggunaan oleh pengadil sendiri, beliau berpuas hati dengan lapan perlawanan pramusim yang digunakan sebagai medan menguji penggunaan VAR.
“Lapan perlawanan yang memperlihatkan satu ruang diberi kepada pengadil untuk membuat keputusan dengan amat berhati-hati selain ruang kepada kelab dan penyiaran,” ujarnya lagi.
Pada pertengahan bulan ini, perlawanan simulasi VAR telah berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.