WALAUPUN kecewa kerana gagal meraih kemenangan di Grand Prix Azerbaijan, Max Verstappen merasakan dia berjaya mengumpul banyak informasi penting tentang jentera Red Bull yang boleh membantunya lebih maju.
Verstappen mendahului perlumbaan pada peringkat awal dari teman sepasukan, Sergio Perez dan pelumba Ferrari, Charles Leclerc tetapi jatuh ke tempat ketiga kerana gangguan kereta keselamatan dan terpaksa melakukan pemanduan pemulihan.
Walaupun juara dunia dua kali itu berjaya memintas Leclerc, Verstappen tidak berjaya mendekati Perez kerana dia lebih menumpukan perhatian untuk mengatasi masalah imbangan jentera RB19 miliknya.
Your points scorers in Baku #AzerbaijanGP #F1 pic.twitter.com/OJxHyaAkuc
— Formula 1 (@F1) April 30, 2023
Saya rasa semestinya momen kereta keselamatan itu sedikit tidak bertuah untuk saya. Saya cuba untuk lebih pantas dan rapatkan kedudukan dengan Perez untuk berada dalam zon DRS tetapi tayar semakin panas dan sebab itu saya hanya mengekori Perez.
“Keseimbangan jentera juga menyebabkan saya sukar untuk konsisten. Saya banyak menghabiskan masa untuk menyelesaikan masalah itu dan akhirnya berjaya melakukannya kira-kira 10 pusingan terakhir dan semuanya baik selepas itu.
“Namun ianya sudah terlambat untuk mencabar Perez tetapi saya dapat belajar banyak perkara sepanjang perlumbaan dan apa yang penting adalah ianya satu keputusan yang baik untuk pasukan,” katanya selepas perlumbaan.
Six points separate Max and Checo after Baku 👀#AzerbaijanGP #F1 pic.twitter.com/MugPSKZhj5
— Formula 1 (@F1) April 30, 2023
Sergio Perez mempunyai hujung minggu yang cemerlang apabila menjuarai perlumbaan Sprint dan Grand Prix Azerbaijan hingga berjaya mengurangkan defisit mata kepada enam namun Verstappen tidak bimbang kerana musim masih lagi panjang.
“Kita tahu musim masih lagi panjang dan seperti yang saya katakan, banyak perkara yang saya pelajari pada perlumbaan ini. Baku sangat berbeza dengan Miami dan ia juga berbeza dengan litar-litar yang lain. Ianya tidak sentiasa sempurna dan kami sentiasa akan belajar,” tambahnya.
Perlumbaan Formula 1 akan diteruskan di Grand Prix Miami dari 6 hingga 8 Mei 2023 dengan Verstappen pastinya mahu mengulangi pencapaian muncul juara sulung di Litar Antarabangsa Miami.